Penyelidikan Berteras Kewangan Sosial Islam UIS Terima Pengiktirafan Antarabangsa
Sumber dari Astro Awani, 09/05/2025 16:30 MYT
- MALAYSIA terus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju kewangan sosial Islam di peringkat antarabangsa apabila penyelidikan yang dijalankan oleh International Research Centre of Islamic Economics and Finance (IRCIEF), Universiti Islam Selangor (UIS), telah mencetuskan penubuhan Maldives Islamic Social Finance Initiative (MISFI). Model Sadaqa House yang dibangunkan oleh IRCIEF dan Maldives Monetary Authority (MMA) menjadi asas kepada pembentukan MISFI, sebuah inisiatif kebangsaan di Maldives yang berteraskan instrumen kewangan sosial Islam seperti sedekah, wakaf dan kewangan mikro. Melalui pendekatan bersepadu yang menekankan tadbir urus berintegriti dan penggunaan teknologi kewangan Islam, MISFI dirangka untuk memperkasa masyarakat dan menyokong agenda pembangunan inklusif berasaskan Maqasid al-Syariah. Pencapaian ini membuktikan bahawa penyelidikan berimpak tinggi dari Malaysia mampu mempengaruhi dasar negara luar dan membuka ruang kerjasama serantau dalam usaha memartabatkan nilai-nilai Islam melalui instrumen kewangan yang progresif dan berdaya tahan. Pelancaran MISFI dapat menyumbang ke arah masyarakat yg inklusif. Hasil kajian IRCIEF dan MMA sehingga tercetusnya MISFI ini menyumbang kearah masyarakat yang inklusif, sejahtera, menjunjung keadilan sosial dan saling bantu membantu. Sempena majlis pelancaran inisiatif tersebut, Naib Canselor Universiti Islam Selangor, Dato' Prof. Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah, telah dijemput oleh kerajaan Maldives sebagai tetamu kehormat. Sementara itu, bagi berkongsi pengalaman dalam pelaksanaan model Sadaqa House, wakil daripada Bank Islam Malaysia Berhad, Zikri, telah membentangkan mengenai peranan serta tadbir urus Sadaqa House yang diperkenalkan sejak tahun 2018, termasuk pencapaiannya sehingga tahun 2024.